Objektif penulisan ini adalah untuk mengkaji
serta memahami sejarah dan perkembangan aspek formalistik di dalam karya
seni terutamanya karya seni arca. Penulisan ini juga adalah bertujuan untuk
membina satu bentuk kefahaman dan pengetahuan dalam proses penghasilkan karya
seni yang mempunyai ciri-ciri seni abstrak formalistik.
Pendahuluan
Menurut Ragans (2005), penulisan yang
terdapat di dalam buku yang bertajuk Art
Talk, seni ialah ekspresi yang disampaikan secara visual terhadap idea atau
pengalaman dan dihasilkan dengan menggunakan kemahiran mahupun bakat yang sedia
ada. Sesebuah karya seni itu dihasilkan adalah bertujuan untuk tujuan peribadi,
tujuan sosial, tujuan keagamaan, tujuan fizikal iaitu seni yang berfungsi dan
akhir sekali bertujuan untuk pendidikan dan proses pembelajaran. Beliau juga
berpendapat bahawa artis atau pengkarya adalah seorang yang kreatif yang
mempunyai kemahiran imaginasi dan bakat unutk mencipta perhubungan secara
bentukan visual. (ibid, m. 6).
Diantara kaedah-kaedah yang digunakan oleh
pengkarya untuk mencari idea ataupun ilham untuk menghasilkan sesebuah karya
ialah melalui pengamatan terhadap alam semula jadi, budaya dan masyarakat,
cerita-cerita lagenda, keagamaan dan terdapat juga pengkarya yang menghasilkan
karya dengan menggunakan kaedah teknik yang kreatif. Kaedah-kaedah ini dapat
diamati dan dilihat melalui ‘isme’ dan sejarah seni moden terutama sekali ialah
di barat. (ibid)
Menurut
Ahmad Rashidi Hasan (2006), di dalam penulisan beliau yang bertajuk Seni Lukis & Idea, permulaan seni
moden di barat dapat dilihat pada era zaman kebangkitan di mana kita dapat
melihat bahawa pada waktu tersebut kehidupan dan pemikiran yang berlandaskan
agama bertukar kepada pemikiran sekular yang berlandaskan falsafah humanism
yang berasal daripada tamadun Yunani. Pemikiran ini terus berkembang dan
memberi kesan terhadap pemikiran kehidupan masyarakat dan gerakan seni
seterusnya. Daripada pemikiran humanism ini, muncul aliran seni yang lain
seperti Romantisme di mana pengkarya pada waktu tersebut menggambarkan alam
sekitar dalam secara realiti yang boleh. Kesan daripada gerakan ini berterusan
sehingga abad ke 19. (ibid)
Menjelang abad ke 19, pemikiran
manusia terus berkembang di mana seni lukis pada masa itu yang bersifat
konvensional mula bertukar bentuk. Pengkarya dan pengkritik seni pada waktu
tersebut telah mula memikir apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan seni
lukis. Adakah seni lukis sebagai satu sekadar aktiviti menggambar ataupun
aktiviti proses berfikir. Hal ini adalah kerana pengkarya pada waktu tersebut
terasa tercabar dengan kemunculan teknologi kamera yang mampu menghasilkan
gambar dengan lebih baik. Kesan daripada teknologi ini, muncul aliran seni yang
dipanggil Impressionis di mana aliran ini menghasilkan karya yang berpandukan
perubahan warna akibat pergerakan cahaya. Aliran ini kemudiannya melahirkan
aliran seni yang seterusnya iaitu Pasca-Impressionis di mana pada waktu
tersebut, seni tidak lagi semestinya membawa apa-apa makna ataupun mesej. (ibid)
Secara tidak langsung, kesan ini
telah mewujudkan satu falsafah yang baru didalam seni visual iaitu seni sebagai
perluahan keindahan atau kepentingan bentuk yang mementingkan unsur-unsur
formalistik. Unsur-unsur formalistik ialah satu kaedah di mana pengkarya
menghasilkan karya dengan menggunakan elemen-elemen seni dan digubah dengan
berpandukan prinsip-prinsip asas rekaan. Roger Fry menerima gerakan ini sebagai
satu aliran dalam seni lukis. Kesan daripada aliran formalistik ini,
perkembangan seni pada abad ke 20 menjadi semakin kompleks. (ibid)
Pada abad ke 20, muncul aliran seni
yang dipanggil Fauvism di mana pada waktu itu, pengkarya menggunakan warna
tanpa batasan dalam menghasilkan karya. Aliran ini menguatkan dan mengukuhkan
lagi falsafah seni formalistik di mana pada waktu tersebut, seni lukis hanya
dilihat sebagai penjelmaan bentuk daripada unsur-unsur formalistik sahaja.
Pemikiran para pengkarya terhadap seni berunsurkan formalistik ini telah
membuka jalan terhadap aliran seni yang baru iaitu Kubism. Aliran seni Kubism
adalah aliran di mana para pengkaryanya menghayati dengan sepenuhnya
unsur-unsur formalistik didalam proses penghasilan karya.
Bermula daripada aliran Kubism ini,
muncul karya-karya yang berbentuk abstrak dan berkonsepkan pengkarya adalah
sebagai seorang pemikir. Gerakan Kubism ini adalah satu gerakan yang membuka
jalan untuk gerakan seni seterusnya dimana pada ketika itu, pengkarya telah
mula mengubah segala bentukan alam semula jadi ke sudut pandangan yang lain.
Gerakan Kubism ini juga telah memberi kesan dan kelahiran aliran abstrak yang
lain. (Hasan, 2006, m. 2)
Menurut
keterangan Barr, pengarah pertama muzium seni moden di New York, beliau telah
membuat satu gerakan susur masa dan lanjutan aliran seni yang terhasil akibat
daripada kesan gerakan Kubism Beliau
menggariskan bahawa daripada gerakan Kubism, muncul aliran seni abstrak yang
lain iaitu Dadaism, Surealism dan Futurism. Setelah itu, Futurism telah membuka
jalan bagi satu aliran seni yang lain pula iaitu Konstruktivism, Bahaus, dan
Abstrak Geometri. (Heartney, 2010, m. 10)
Gambarajah
Perkembangan Aliran Seni oleh Alfred H. Barr Jr
di dalam katalog
pameran CUBISM AND ABSTRACT ART pada tahun 1936
Seni asbtrak ialah seni di mana
para pengkarya mengubah bentuk sebenar subjek kajian kepada bentuk yang lain.
Pada mulanya ia hanya melibatkan kesan emosi, spiritual, dan teknik di dalam
proses menghasilkan karya. Kemudiaannya, ia menjadi semakin berkembang apabila
pengkarya menolak kesan emosi mahupun penggunaan subjek kajian dalam proses
menghasilkan karya yang bersifat abstrak. Abstrak bukan sahaja dapat dilihat
didalam karya seni catan, malah ia memberi kesan terhadap karya seni arca.
Pada
peringkat permulannya, abstrak di dalam seni arca adalah berpandukan subjek
kajian seperti figura manusia. Contonhnya karya-karya seperti Alberto
Giacometti. Setelah pemikiran pengkarya arca bertambah kompleks, mereka
menghasilkan karya seni arca yang tidak berlandaskan subjek kajian tetapi
mempunyai penceritaan yang tersendiri.
Three
Man Walking II, Alberto Giacometti, 1949
Daripada pemikiran ini, muncul
pemikiran yang lebih kompleks iaitu penghasilan karya seni arca abstrak yang
hanya berlandaskan unsur-unsur formalistik dan tidak dikaitkan dengan apa-apa
jua jenis naratif. Namun begitu, karya tersebut banyak berbincang mengenai
bahan dan pemahamannya dalam arca tersebut. Contoh bagi karya-karya sebegini
dapat dilihat pada karya pengkarya seperti Richard Decon yang bertajuk Kiss and Tell. (Frank, 2006, m. 29)
Kiss and Tell, Richard Deacon, 1989
Namun begitu, karya-karya sebegini
masih lagi mempunyai pengaruh dan ia mempunyai nilai dan kualitinya untuk
diamati dengan lebih mendalam. Hal ini adalah kerana karya arca yang bersifat
seni abstrak hanya mampu difahami dengan merujuk kepada falsafah dan sejarah
perkembangannya yang tersendiri.
Dapatan Kajian
Seni asbtrak ialah seni di mana para pengkarya
mengubah bentuk sebenar subjek kajian kepada bentuk yang lain. Di dalam seni
abstrak, terdapat dua pendekatan yang dapat dirujuk untuk menghasilkan karya
yang bersifat abstrak. Pendekatan yang pertama untuk menghasilkan karya yang
bersifat abstrak ialah abstrak yang berlandaskan subjek kajian(objective) tetapi imej atau rupa
daripada subjek tersebut telah diubah kepada imej yang lain. Pendekatan yang
kedua pula ialah abstrak yang tidak merujuk pada mana-mana subjek kajian dan
hanya menggunakan unsur-unsur formalistik sahaja(non-objective) dalam penghasilan karya. (Frank, 2006, m. 27)
Pendekatan penggunaan unsur-unsur
formalistik ini telah diberi satu terma
yang khas untuk memahaminya iaitu formalism. Formalism adalah sebuah terma yang
diberi untuk menerangkan bahawa ia adalah mengenai pemerhatian yang tinggi
terhadap bentukan dan penampilan sesebuah karya. Pemerhatian terhadap bentuk
dan penampilan sesebuah karya itu dianggap lebih penting daripada subjek
kajian, makna dan penceritaan yang ingin disampaikan melalui karya tersebut.
Hal ini adalah kerana unsur-unsur formalistik merupakan dasar bagi sesebuah
makna kerana ia mampu berkomunikasi untuk menyampaikan pendapat, idea,
pemikiran, maklumat dan apa sahaja bagi sesebuah karya. (Whitman, 2010, m. 26)
Kaedah formalistik ini menggunakan
elemen-elemen seni yang yang diolah dengan berpandukan prinsip-prinsip asas
rekaan untuk menghasilkan sesebuah karya seni. Olahan tersebut akan menjadi
satu komposisi dalam membentuk sesebuah karya. Beberapa pengkritik seni yang
mendokong kaedah formalism ini mengatakan bahawa komposisi merupakan faktor
yang amat penting dalam sesebuah karya seni. Menurut pandangan pengamal
formalistik, apabila kita melihat sesebuah karya, kita secara sedar ataupun
tidak sedar akan melihat pengolahan unsur-unsur formalistik dan juga komposisi
terlebih dahulu di dalam sesebuah karya seni. (ibid)
Hal ini menyebabkan pengkritik seni yang
mendokong kaedah ini seperti Roger Fry mengatakan bahawa unsur-unsur formalistik di dalam
sesebuah karya seni merupakan faktor yang menyebabkan tindakbalas penonton
terhadap sesebuah karya tersebut. Clive Bell pula mengatakan bahawa sesebuah
karya seni dapat memberi satu kesan reaksi terhadap emosi penonton seperti
pengalaman dan sebagainya. Pendapat yang dikemukakan oleh Clive Bell ini adalah
bertepatan dengan penulisan yang dilakukan
pada peringkat awal lagi iaitu unsur-unsur formalistik merupakan dasar
bagi sesebuah makna kerana ia mampu berkomunikasi untuk menyampaikan pendapat,
idea, pemikiran, maklumat dan apa sahaja bagi sesebuah karya. Tetapi, kedua
pengkritik ini sama dan tetap berpendapat bahawa ciri-ciri dan unsur-unsur formalistik
adalah lebih penting berbanding subjek kajian. Clive Bell mengatakan bahawa
kita mempunyai kesedaran secara semula jadi terhadap unsur-unsur formalistik
dan kita memberi tindak balas secara serta merta berbanding subjek di dalam
sesebuah karya seni itu dan ini merupakan satu pemahaman terhadap pengalaman
visual menurut Clive Bell. . (Whitman, 2010, m. 36)
Selain daripada Roger Fry dan juga
Clive Bell, pengkritik seni yang mendokong hebat pemahaman formalism ini ialah
Clement Greenberg. Clement Greenberg merupakan pengkritik seni daripada
Amerika. Beliau juga berpendapat dan menerangkan bahawa proses imaginasi dalam
penghasilan sesebuah karya merupakan sesuatu yang lebih bermakna dan bernilai
berbanding dengan berpandukan subjek kajian. Beliau juga berpendapat bahawa
proses penghasilan atau bahan itu
merupakan satu makna yang sebenar dalam sesebuah karya seni. (ibid, m. 37)
Analisis Karya
Construction in Space: Arch No.2, Naum Gabo,
1958/1963
Karya
di atas adalah sebuah karya seni arca yang dihasilkan oleh seorang pengarca
daripada gerakan konstruktivism yang bernama Naum Gabo. Tajuk karya di atas
ialah Construction in Space: Arch No.2.
Bahan yang digunakan untuk menghasilkan karya ini ialah kepingan besi yang
diolah menjadi rupa organik dan digabungkan bersama potongan wayar dan
didirikan diatas tapak kayu. Karya ini dihasilkan pada tahun 1958 dan terdapat
juga pendapat yang mengatakan bahawa karya ini dihasilkan pada tahun 1963. Di dalam
karya ini, elemen-elemen seni yang dapat dilihat ialah garisan. Elemen garisan
ini dapat dilihat dengan jelasnya pada olahan wayar yang terdapat diantara
kepingan besi tersebut. Selain daripada garisan, elemen seni lain yang dapat
dilihat ialah rupa. Elemen rupa ini dapat dilihat pada olahan kepingan besi di mana
terdapatnya rupa positif dan rupa negatif pada karya ini. Selain itu, kita juga
dapat melihat elemen ruang di dalam karya ini di mana ia terhasil daripada
kesan rupa positf dan rupa negatif di dalam karya ini. Elemen seni yang paling
ketara dapat dilihat di dalam karya ini ialah bentuk. Bentuk ini dapat dilihat
secara keseluruhannya di mana bentuk merupakan intipati yang utama di dalam
proses penghasilan seni arca yang dapat dilihat dari sudut 360˚ darjah. Selain
daripada elemen seni, kita juga dapat melihat prinsip asas rekaan yang terdapat
di dalam karya ini.
Di dalam
karya ini, prinsip asas rekaan yang dapat dilihat ialah pergerakkan. Prinsip
ini dapat dilihat pada kepingan besi yang diolah menjadi rupa organik di mana
kita dapat melihat pergerakan tersebut seakan tiada kesudahan. Prinsip
perulangan juga dapat dilihat di dalam karya ini di mana perulangan tersebut
dapat dilihat pada susunan wayar diantara kepingan besi dan secara tidak
langsung ia membentuk satu prinsip keseimbangan iaitu keseimbangan berpusat.
Prinsip ini dapat dilihat pada olahan wayar yang berada diantara kepingan besi
tersebut. Wayar tersebut bersifat struktur dan telah diolah menjadi satu
bentukan yang padat yang terdapat diantara kepingan besi tersebut. Selain itu,
kita juga dapat melihat prinsip tekanan di dalam karya ini di mana tekanan ini
dapat dilihat disebelah kiri kepingan besi. Kepingan besi sebelah kiri yang
bersambung dengan tapak kayu kelihatan lebih kecil berbanding disebelah kanan
dan ia menampakan satu tekanan pada bahagian kiri di dalam karya ini. Prinsip
asas rekaan yang lain dapat dilihat ialah kepelbagaian. Prinsip ini dapat
dilihat pada kepelbagaian bahan yang digunakan iaitu kayu, kepingan besi dan
juga wayar. Gabungan elemen seni dan prinsip asas rekaan di dalam karya ini
telah membentuk sebuah arca yang mempunyai makna yang tersendiri untuk dinilai.
Di dalam
karya ini, pangarca cuba menunjukkan kemodenan pada zaman tersebut. Hal ini
dapat dilihat dari segi bentuk, dan teknik yang digunakan. Dari segi bentukkan
arca ini sendiri, kemodenan tersebut dapat dilihat di mana pengkarya telah
mencabar definisi asal seni arca dimana arca adalah sesuatu karya seni yang
menggunakan bahan yang mampunyai jisim. Oleh itu, pengkarya ini telah mencabar
definisi ini dngan menggunakan bahan-bahan yang bersifat struktur unutk menghasilkan
bentuk. Bahan-bahan struktur tersebut diolah sehingga menampakan kesan jisim
dan padat dibeberapa bahagian di dalam karya ini. Dari segi teknik pula,
kemodenan tersebut dapat dilihat dari segi bahan dan pengolahan yang telah
dilakukan. Contohnya penggunaan kepingan besi di dalam karya ini yang dibentuk
dengan kemasnya dengan seolah-olah
menggunakan teknologi mesin yang telah sedia ada. Ini dapat dilihat dari segi sejarah seni di mana
pengkarya ini terlibat secara langsung di dalam aliran konstruktivism. Aliran
ini bergerak bersama revolusi mesin pada penghujung abad 19 dan awal 20
an. Selain itu, konstruktivism itu
sendiri adalah aliran seni yang menekankan penggunaan teknologi mesin dan
industri di dalam proses penghasilan karya terutamanya karya seni arca.
Karya ini berjaya menjadi penggerak kepada karya-karya seni arca
yang menggunakan teknologi moden pada ketika itu. Hal ini adalah kerana pengarca
ini berjaya menunjukkan kemajuan pada zaman tersebut terutama dari segi
bentukan dan teknik yang digunakan. Selain itu, pengarca yang menghasilkan arca
ini juga menggunakan teknik matematik dan
teknologi di mana ia adalah satu kesedaran yang menjadi pegangan pada
waktu tersebut.
Wahdah, Ramlan Abdullah, 2009
Karya seni di atas adalah sebuah
karya seni arca awam yang dihasilkan oleh seorang pengarca tanah air yang
bernama Ramlan Abdullah. Tajuk arca awam ini ialah Wahdah. Bahan yang digunakan untuk menghasilkan arca ini ialah besi
dan batu. Karya ini dihasilkan dan siap sepenuhnya pada tahun 2009. Walaupun arca
ini ialah arca awam, ia mempunyai nilai-nilai formalistik yang kuat untuk di
kaji. Di dalam karya ini, elemen seni yang dapat dilihat ialah garisan. Garisan
ini terhasil daripada potongan bilah-bilah besi bulat yang pelbagai saiz
kemudian dicantumkan sehingga secara tidak langsungya menampakkan rupa bulan
sabit. Rupa bulan sabit ini dengan ketaranya menunjukkan ruang yang jelas
diantara satah-satah garisan pada bahagian
tersebut. Selain itu, elemen garisan ini juga dapat dilihat pada bentuk batu
yang menjadi tapak kepada arca ini. Di dalam karya ini, jalinan yang dapat
dilihat ialah jalinan semula jadi yang terdapat pada permukaan bahan yang
digunakan. Ia tidak diubah menjadi satu karakter bahan yang lain. Kita juga
dapat melihat potongan besi yang dipotong seakan hanya satu garisan di olah di
mana di sesetengah bahagian bentukan tersebut seakan hanyalah sebuah struktur
manakala dibahagian yang lain seakan bentukan yang padu. Ini menunjukkan
pengarca yang menghasilkan karya ini telah mengolah elemen seni yang digunakan
di dalam karya ini dengan baik dengan berpandukan kepada prinsip-prinsip asas
rekaan yang telah sedia ada.
Di dalam karya ini, prinsip asas
rekaan yang paling ketara dapat dilihat ialah perulangan. Ini dapat dilihat
pada elemen garisan yang terhasil daripada potongan besi yang diulang-ulang
untuk menghasilkan bentukan yang menarik di dalam karya ini. Perulangan ini
secara tidak langsung telah menghasilkan satu kesan harmoni dan kesatuan
terutama pada bahagian atas di dalam karya ini. Kita juga dapat melihat prinsip
kepelbagaian di dalam karya ini iaitu pertama sekali dari segi bahan yang
digunakan iaitu gabungan batu dan juga besi. Selain itu, kepelbagaian dapat
dilihat pada saiz ketebalan dan nipis garisan yang terhasil daripada potongan
besi yang digunakan untuk menghasilkan arca ini. Dari sudut keseimbangan,
keseimbangan yang terdapat di dalam karya ini ialah keseimbangan berpusat. Hal
ini dapat di lihat pada bahagian atas di dalam karya ini di mana terdapat
beberapa potongn besi yang tebal dan beralun yang seakan menghala ke bahagian
tengah pada bahagian atas tersebut. Dengan berpandukan kepada elemen seni dan
juga prinsip asas rekaan yang digunakan untuk menghasilkan karya ini, ia
menunjukkan bahawa karya ini mempunyai penceritaan dan makna yang tersendiri
untuk disampaikan.
Karya Wahdah ini
ialah sebuah arca yang mempunyai rasionalnya yang tersendiri. Beliau mengatakan
bahawa bahagian atas arca ini memperlihatkan bentuk bulan sabit di mana
satahnya dihasilkan melalui susunan garisan potongan besi yang akhirnya
membentuk satu bulatan yang lengkap.
Bentukan bulan sabit yang terhasil daripada susunan potongan besi itu
merupakan satu perlambangan untuk perlembagaan negara Malaysia yang mempunyai
raja dan Islam merupakan agama yang rasmi. Satah bulan sabit tersebut mempunyai
sebanyak 14 bilangan membawa maksud 14 buah negeri yang terdapat di negara ini.
Garisan-garisan halus yang terhasil daripada potongan besi tersebut
melambangkan kesepaduan, kerjasama, nilai budaya, adat resam dan juga
perkongsian wawasan iaitu wawasan 2020. Bahagian bawah arca tersebut yang
terbentuk daripada batu melambangkan kekuatan dan daya ketahanan rakyat
Malaysia untuk mengharungi segala cabaran pada masa akan datang. Bentuk luk mata keris yang tegap dan kukuh
yang terdapat pada bahagian atas arca ini membawa maksud rakyat Malaysia
memainkan peranan yang amat penting demi menjaga perpaduan dan mengorak langkah
bagi merealisasikan wawasan 2020.
Dari sudut
konteks pada zaman kini, arca Wahdah
ini adalah sebuah arca yang berjaya yang menjadi lambang mahupun kemegahan
untuk rakyat Malaysia pada masa kini. Hal ini adalah kerana ia mempunyai nilai
dan rasionalnya yang tersendiri untuk di hayati dan di fahami. Dari segi
teknikal dan rekabentuk, kita dapat melihat gabungan bahan semulajadi dan juga
bahan industri di mana gabungan penggunaan batu dan besi ini menunjukan karya
ini mempunyai pengaruh daripada artis-artis aliran konstruktivism seperti Naum
Gabo. Gabungan dan pengaruh ini menunjukkan teknologi dan pemikiran pengarca di
negara ini sudah semakin maju kehadapan dan seiring dengan apa yang terdapat di
barat untuk menghasilkan karya seni arca yang bermutu tinggi.
Untitled, Richard Deacon, 1980
Karya
di atas adalah sebuah karya seni arca yang dihasilkan oleh pengarca yang bernama
Richard Deacon. Arca in bertajuk Untitled.
Arca ini dihasilkan dengan menggunakan kayu yang telah dibentuk untuk
mendapatkan kesan organik terhadap kayu tersebut. Arca ini dihasilkan pada
tahun 1980. Di dalam karya ini, bentuk yang dapat dilihat dengan jelasnya ialah
bentuk organik yang terhasil daripada susunan kayu yang membentuk satu bulatan.
Susunan bentukan organik ini juga dilakukan dengan penuh teliti di mana ruang
diantara bentukan itu adalah sama. Di dalam karya ini juga, penggunaan warna yang
dapat dilihat ialah warna kayu itu sendiri. Karya ini terhasil daripada
gabungan rupa organik yang disambungkan untuk menghasilkan satu bentukan yan
menarik.
Prinsip
asas rekaan yang paling ketara yang dapat dilihat di dalam arca ini ialah
perulangan. Perulangan ini dapat dilihat dari segi susunan kayu yang diolah
untuk membentuk arca ini. Warna yang digunakan adalah sama bagi setiap bentukan
yang terdapat di dalam karya ini.. Perulangan ini dengan secara tidak
langsungnya menghasilkan kesan harmoni apabila karya ini dipamerkan. Namun
begitu, karya ini kelihatan tidak seimbang di mana ia mempunyai perbezaan rupa
dan secara tidak langsungnya ia memberi kesan tekanan pada karya ini untuk di
pamerkan. Bentukan yang bersahaja tetapi menarik ini menunjukkan arca ini
mempunyai nilai yang tinggi untuk dikaji.
Dalam
arca ini, kita dapat melihat bahawa Richard Deacon merupakan seorang pengarca
yang melihat potensi bahan yang di gunakan untuk menghasilkan arcanya. Ini
dapat dilihat pada kayu yang digunakan unutk menghasilkan arca ini diolah
menjadi bentukan organik. Selain itu, olahan tersebut menunjukkan beliau
menitikberatkan kekemasan kerja dan bahan yang digunakan di mana setiap olahan
kayu yang dibuat adalah sama sehingga tiada menampakan kecacatan pada bentukan
arca yang dihasilkannya. Kekemasan bahan dan juga bentukan yang menarik pada
arca ini menunjukkan arca ini sesuai untuk dijadikan arca awam yang menarik
untuk dipamerkan dalam sesebuah bangunan mahupun hiasan rekaan dalaman.
Arca Richard Deacon ini merupakan arca yang menarik dan ia
berjaya menunjukkan bahawa Richard Deacon adalah seorang pengarca yang
mempunyai kefahaman dan ilmu yang tinggi terhadap bahan dan bentukkan yang
ingin dihasilkannya. Ini dapat dilihat pada kemasan bahan dan bentukan yang
menarik yang kelihatan sesuai pada zaman kini pada arca tersebut.
Jaws, Vivian Chiu, 2012
Karya
di atas ialah sebuah karya seni arca yang dihasilkan oleh pengarca yang bernama
Vivian Chiu. Karya ini bertajuk Jaws
yang dihasilkan dengan menggunakan kayu yang disambung antara satu sama lain.
Karya ini dihasilkan pada tahun 2012. Di dalam karya ini, kita dapat melihat
pengarca ini menyusun kayu untuk menghasilkan bentukan untuk arca ini. Bentuk
yang terhasil daripada susunan kayu-kayu ini telah menghasilkan bentukan organik.
Di dalam karya ini, kita dapat melihat bahawa Vivian Chiu menggunakan bahan kayu
ini secara semula jadi dengan mengekalkan permukaan asal kayu tersebut. Ini
dapat di lihat dari segi jalinan pada permukaan batu tersebut. Jalinan yang
terdapat di dalam karya ini terhasil daripada jalinan yang terdapat pada
permukaan kayu tersebut. Selain itu, warna juga merupakan warna yang asal
daripada kayu tersebut. Di dalam karya ini, elemen garisan pula terhasil
daripada celahan-celahan ruang diantara susunan-susunan batu untuk menghasilkan
arca ini. Karya ini juga merupakan diantara karya yang menggunakan sedikit
sahaja unsur-unsur prinsip asas rekaan.
Di dalam
karya ini, prinsip-prinsip asas rekaan yang dapat dilihat secara jelasnya ialah
perulangan. Perulangan ini dapat dilihat pada jumlah dan susunan kayu yang
digunakan. Selain itu, perulangan ini juga dapat dilihat daripada garisan yang
terhasil daripada daripada celahan-celahan ruang diantara susunan-susunan kayu
tersebut. Selain itu, prinsip keseimbangan juga dapat dilihat di dalam karya
ini di mana karya ini menggunakan keseimbangan simetri. Ini dapat dilihat pada
formasi susunan kayu di dalam karya ini di mana jumlah susunan di atas, di
bawah, kiri dan kanan adalah sama. Selain daripada susunan kayu, keseimbangan
tersebut juga dapat dilihat dari segi bentuk yang dihasilkan di mana ia adalah
sama pada setiap bahagian pada arca ini. Prinsip asas rekaan yang paling ketara
dapat dilihat ialah pergerakan. Pergerakkan tersebut terhasil daripada susunan
kayu yang dicantum kemudian diolah menjadi bentuk yang organik. Pergerakkan
tersebut secara tidak langsungnya menghasilkan kesan harmoni dan irama. Dengan
berpandukan kepada bentukan dan tajuk bagi karya ini, ia mempunyai makna yang
tersirat untuk disampaikan.
Karya
yang bertajuk Jaws ini merupakan
karya yang berpandukan subjek kajian iaitu haiwan. Haiwan tersebut adalah ikan
jerung di mana bentukan asal ikan jerung tersebut diolah menjadi bentukan yang
lain. Ini menunjukkan masih lagi terdapat pengkarya yang menghasilkan arca
bersifat abstrak yang berlandaskan subjek kajian di mana alam semula jadi masih
lagi boleh digunakan sebagai sumber inspirasi kepada pengkarya untuk
menghasilkan karya seni. Selain itu, karya ini juga mempunyai nilai-nilai
rekaan bentuk dalaman di mana ia sesuai dijadikan perhiasan mahupun arca yang
berfungsi. Karya ini juga menunjukkan pengarca yang menghasilkan arca ini
mempunyai kefahaman yang tinggi terhadap bahan yang digunakan. Ini dapat
dilihat pada kemasan bahan dan potensi bahan di mana kayu yang bersifat keras
mampu diolah sehingga menampakkan kesan yang lembut.
Arca Jaws ini merupakan arca yang berjaya untuk menunjukkan kemodenan
gaya hidup pada zaman ini. Hal ini adalah kerana bentukan yang dihasilkan
merupakan citarasa penggemar seni pada zaman sekarang di mana ia sesuai
dijadikan hiasan dalaman bagi sesebuah bangunan. Selain itu, keupayaan pengarca
ini mengolah bahan menunjukkan bahan yang tradisional seperti kayu mampu diberi
nilai yang tinggi untuk dijadikan karya seni yang berkualiti.
Kesimpulan
Kesimpulannya,
kita dapat melihat bahawa karya-karya seni arca yang berlandaskan unsur-unsur
formalistik mempunyai persamaan dan perbezaaan dari segi bentukan, dan pemikiran
pengarca yang menghasilkan arca tersebut. Ini dapat dilihat melalui
interpertasi yang berbeza oleh pengarca yang mengamalkan unsur-unsur
formalistik di dalam proses penghasilan karya arca mereka. Namun begitu,
terdapatnya beberapa persamaan dan juga perbezaan diantara seorang pengarca
dangn pengarca yang lain. Contohnya pengarca yang bernama Naum Gabo di dalam
karya yang bertajuk Construction in
Space: Arch No.2 dan juga pengarca yang bernama Ramlan Abdullah di dalam
arca yang bertajuk Wahdah.
Persamaan
pertama yang kita dapat lihat terhadap karya yang bertajuk Wahdah dan juga Construction
in Space: Arch No.2 ialah dari segi bentukan arca itu sendiri. Hal ini
dapat dilihat di mana bentukan kedua-dua arca tersebut terdiri daripada struktur-struktur
yang bersambung. Struktur-struktur tersebut memainkan peranan untuk membentuk
satu bentukan, corak dan rupa yang lain. Hal ini dapat dilihat di mana terdapat
beberapa bahagian struktur yang kelihatan padat iaitu seperti satu bentukan yang
padu dan terdapat juga bentukan yang menghasilkan kesan yang telus dan juga
samar-samar. Selain daripada bentukan arca itu sendiri, konsep pameran arca
tersebut juga adalah sama iaitu ‘still
standing’. Konsep ini dapat dilihat di dalam kedua arca ini di mana
bentukan yang dibina mempunyai tapak yang menyokong bentukan tersebut untuk di pamerkan.
Persamaan yang kedua yang dapat
dilihat pada kedua arca ini ialah dari segi penggunaan prinsip asas rekaan yang
terdapat di dalam arca ini di mana kita dapat melihat kedua-dua arca ini
mempunyai prinsip keseimbangan berpusat yang amat ketara yang dapat dilihat
pada bahagian tengah kedua arca tersebut.
Selain daripada persamaan kita juga
dapat melihat melihat perbezaan diantara kedua arca ini. Di dalam Construction in Space: Arch No.2 kita
dapat melihat penggunaan bahan yang sepenuhnya terdiri daripada bahan industri
iaitu kepingan besi dan juga tali kabel tetapi di dalam Wahdah kita dapat melihat gabungan bahan semula jadi dan juga
industri di mana penggunaan batu dan juga besi yang digabungkan untuk
menghasilkan arca ini. Selain daripada bahan, perbezaan yang kita dapat lihat
diantara kedua pengarca ini ialah dari segi pemikiran kedua pengarca ini
terhadap aspek-aspek formalistik dalam menghasilkan arca. Arca Construction in Space: Arch No.2 hanya
menunjukkan kemajuan teknologi pada zaman tersebut. Ia juga menunjukkan
kekemasan dan potensi bahan yang digunakan. Tetapi, di dalam Wahdah, selain daripada kemasan dan
potensi bahan, penggunaan elemen seni dan prinsip asas rekaan, arca ini juga
mempunyai rasionalnya yang tersendiri. Rasional tersebut menjadi maksud bagi
setiap bentukan yang terdapat di dalam arca ini.
Selain
daripada arca Construction in Space: Arch
No.2 dan Wahdah, kita juga dapat
melihat persamaan dan perbezaan diantara arca yang bertajuk Untitled yang dihasilkan oleh Richard
Deacon dan Jaws yang dihasilkan oleh Vivian Chiu. Persamaan dan perbezaan ini dapat dilihat dari segi bentukan dan
juga pemikiran kedua pengarca ini iaitu Richard Deacon dan Vivian Chiu.
Persamaan yang paling jelas
diantara karya yang bertajuk Jaws dan Untitled ialah bahan yang digunakan iaitu
kayu. Daripada kayu tersebut, ia di cantum dan diolah untuk mewujudkan kesan organik,
pergerakkan, dan harmoni dalam kedua arca tersebut. Selain itu, kita juga dapat
melihat bentukan kedua arca ini terhasil daripada perulangan bahan yang
digunakan untuk menghasilkan arca ini.
Di dalam kedua arca ini, perbezaan
yang dapat dilihat ialah dari segi teknik yang digunakan iaitu di dalam Jaws teknik yang digunakan untuk
menghasilkan bentukan acra tersebut ialah setiap kayu disambung antara satu
sama lain sehingga menampakkan kesn nyang padat manakala di dalam Untitled, kayu yang di sambung mempunyai
struktur dan ini menunjukkan bentukan yang dihasilkan adalah bentukan yang
berstruktur. Selain itu, kita juga dapat melihat perbezaan pendekatan yang
digunakan oleh kedua pengarca ini. Richard Deacon menghasilkan bentuk dengan
memberi tumpuan dan kefahaman terhadap bahan yang digunakan tanpa mempunyai apa
- apa subjek kajian yang khusus tetapi Vivian Chiu selain menitikberatkan
kekemasan bahan ia juga mempunyai subjek kajian dalam menghasilkan arcanya.
Oleh itu, dalam menghasilkan arca
yang bersifat abstrak, kita mempunyai pilhan dan pendekatan yang berbeza.
Pendekatan itu juga mempunyai tafsiran yang berbeza bagi setiap pengarca. Namun
begitu, ia masih lagi mempunyai persamaan yang dapat dilihat dan untuk
dibicarakan.
Rujukan
Buku
Frank, P. (2006). ARTFORM. New Jersey: Prentice Hall.
Hasan, A. R. (2006). Seni Lukis & Idea. Shah Alam:
UPENA.
Heartney, E. (2010). ART & TODAY. London: Phaidon
Press Limited.
Human, J. (1999). Materials Matter The Conservation Of
Modern Sculpture. London: Tate Gallery.
Kleeblatt, N. L. (2008). ACTION / ABSTRACTION. New
York: British Library.
Lucio-Meyer, J. d. (1973). Visual Aesthetic. London:
Lund Humphries.
Moszynska, A. (1986). Abstract Art. London: Thames
& Hudson.
Ragans, R. (2005). ARTTALK. Woodland Hills:
Glencoe/McGraw-Hill.
Read, H. (2007). Modern Sculpture A Concise History.
London: Thames & Hudson world of art.
SturGeon, G. (1991). Contemporary Australian Sculpture.
Rosebille: Craftsman House.
Thompson, J. (2000). Richard Deacon. London: Phaidon
Press Limited.
Whitham, G. (2010). UNDERSTANDING ART HISTORY. London:
McGraw-Hill.
Laman
Sesawang
Abdullah,
R. (2009, July 28). RAMLAN ABDULLAH VS PUBLIC SCULPTURE. Retrieved June
16, 2012, from www.google.com: Ramlan%20Abdullah%20vs%20Public%20Sculpture.htm
Cottington, D. (2005). MODERN ART A Very Short
Introduction. New York: Oxford University.
Dave. (2012, February 2012). Jaws By Vivian Chiu.
Retrieved June 16, 2012, from www.google.com: http://www.contemporist.com/2012/02/23/jaws-by-vivian-chiu/
Foster, S. C. (1975). Cleement Greenberg : Formalism in
40's and 50;s. Retrieved JUNE 16, 2012, from www.google.com:
http://www.jstor.org/discover/10.2307/775837?uid=3738672&uid=2129&uid=2&uid=70&uid=4&sid=56308774953
Heilbrunn Timeline of Art History. (2012, July
3). Retrieved June 2012, 2012, from www.google.com:
Alberto%20Giacometti%20%20Three%20Men%20Walking%20II%20(1999.363.22)%20%20%20Heilbrunn%20Timeline%20of%20Art%20History%20%20%20The%20Metropolitan%20Museum%20of%20Art
http://en.wikipedia.org/wiki/Abstract_art. (2012, July
13). Retrieved June 16, 2012, from www.google.com:
http://en.wikipedia.org/wiki/Abstract_art
http://en.wikipedia.org/wiki/Formalism_(art). (2012, May
12). Retrieved Jun 16, 2012, from www.google.com:
Formalism%20(art)%20-%20Wikipedia,%20the%20free%20encyclopedia.htm
No comments:
Post a Comment